karya : 13 Disember 2010
Meninggalkan dan ditinggalkan, mana mungkin punya maksud yang sama. Sedang ejaannya sahaja sudah berlainan. Yang meninggalkan mungkin merasakan ini keputusan terbaik untuk kebahagiaan bersama. Mungkin merasakan kelegaan dapat berterus terang akhirnya. Tapi, yang ditinggalkan bagaimana? Hari demi hari bertanya pada diri. Mengapa dan kenapa? Sedang dedikasi dan usaha sehabis sudah untuk membahagia. Tapi mengapa dibalas dengan kelukaan dan airmata?
“ Tak paham! Tak paham!” Sugul. Kusut. Serabut segala.
“ Jangan fahamkan benda yang dia sendiri taknak bagi kau faham.”
Dia pandang dengan wajah simpati. Kasihan adik aku. Diyana diam seketika. Mencari kata.
“ Tapi, aku lagi la tak faham Kak Ana. Kenapa dia sanggup buat macam tu?” tanya Dayah. Turut jatuh simpati. Entah kenapa soal cinta ini buat dia dungu. Walhal dia bijak. Bukankah dia penuntut tahun akhir pengajian perubatan. Yang satu ini, langsung dia tak faham. Kalau dulu Kak Ana, dan kini Abang Li. Ini suratan, ketentuan atau pilihan?
“ Kenapa dia taknak bagitahu aku kalau dia ada orang lain? Aku dah tanya dia banyak kali, kalau dia rasa aku tak layak untuk dia. Berterus terang. Bukan macam ni. Dah janji kan?. Tiba-tiba..” dia putus kata. Sebak dari dalam.
Diyana, Dayah berbalas pandang. Lantas dua pasang mata bertaut pada Dzulfazli. Mata itu kelam. Tak macam selalu. Sungguh. Mereka sedarah sedaging. He’s hurt, i’m hurt a lots. Kata hati Diana. Membisik dalam-dalam.
Dua hari lalu wajah itu masih galak ketawa. Ceria wajah mencermin isi hatinya. Membilang hari, menanti detik bahagia. Huh...Diyana hanya mampu melepas nafas. Bukan menyalahkan ketentuan, dan takdir yang datang. Ya Allah sukarnya nak menerima semua ini.
Maaf Dzulfazli. Aku tidak merestui apa yang jadi padamu kini. Ini bukan soal memberi peluang atau apa sahaja. Ini soal kepercayaan dan rasa hormat yang dia musnahkan. Kalaulah aku boleh mencurah isi hati ini. Aku tidak akan sekali-kali mengizinkan dia menjadi ahli keluarga ini. Adik ipar kepadaku. Dan seorang isteri kepadamu.
“Bersemuka dan berterus terang. Luah apa yang terbuku. Lepaskan segala-gala. Itu lebih mudah kan?”
“Tapi..aku masih sayangkan dia. Aku masih ingin beri dia ruang dan peluang.”
“Ruang dan peluang itu hanya untuk mereka yang menghargainya. Yang memahaminya. “
Ya Tuhan. Aku tidakkan pekak untuk mengerti semua ini. Aku tidak sekali-kali buta menyaksi musibah ini.
Diyana senyap. Tak mampu berkata walau sepatah. Entah kenapa, sejarah itu sudah berulang. Walhal sering dia panjatkan doa pada Illahi, biarlah derita yang pernah dia lalui itu tidak tertempias langsung buat insan-insan yang berada dekat dihatinya.
Dan bohonglah kalau dia kata, dia boleh tersenyum bila menerima mesej Dzulfadzli lewat malam kelmarin. Silap-silap hatinya lebih luka, berdarah lagi. Takdir Dzulfadzli umpama menyelak tirai semalam yang tiada indahnya untuk dikenang. Lalu dia turut menangis. Teresak-esak lebihnya.
Meninggalkan dan ditinggalkan, mana mungkin punya maksud yang sama. Sedang ejaannya sahaja sudah berlainan. Yang meninggalkan mungkin merasakan ini keputusan terbaik untuk kebahagiaan bersama. Mungkin merasakan kelegaan dapat berterus terang akhirnya. Tapi, yang ditinggalkan bagaimana? Hari demi hari bertanya pada diri. Mengapa dan kenapa? Sedang dedikasi dan usaha sehabis sudah untuk membahagia. Tapi mengapa dibalas dengan kelukaan dan airmata?
Ya Tuhan, perkara yang dia takuti kini berulang.
“ Yang aku tak boleh terima kenapa tak berterus terang? Beri harapan bukan pada aku sorang, tapi mak abah. Macamana?”
Abah mungkin mengerti dan faham. Tapi, emak? Mengharapkan ikatan kasih si adik berpanjangan hingga ke mahligai bahagia. Bukankah emak yang beria-ia merancang segala persiapan. Menyedia apa yang perlu. Malah menghebah pada sekitar kampung dia bakal menerima kehadiran insan baru. Mak juga kerap memuji-muji. Bibirnya kata yang baik sahaja tentang Raihah. Tiada sedikitpun cacat celanya. Kurangnya diterima hati terbuka. Itulah mak, bila hati dah suka.
“ Bagi aku, dia tak meletakkan kau ditempat teratas hatinya. Kalau dia begitu menyanjung dan menghormati engkau. Mana mungkin dia akan melakukan sesuatu yang akan melukakan hati kau. Lagipun siapalah emak dan abah untuk dijaga hati mereka, sedang mak bapa dia sendiri pun tak pernah dikhabar sebarang perkara. Saat ini, dia merasakan hatinya yang penting. Bukan hati siapa-siapa. Kenapa dan mengapa. Dia sahaja yang mampu menjawab semua persoalan itu” Bicara Diyana cuba memahamkan.
Hati orang Dzulfazli. Macam hati kita. Sendiri-sendiri faham. Kalau tak dicerita, dikongsi mana mungkin orang tahu.
Aku sendiri Dzulfazli. Empat tahun ni, masih bertanya pada diri kenapa Asyraf pergi meninggalkan diri ini. Atas dasar apa? Kerana apa? Aku tak henti bertanya. Akhirnya aku lelah, bila mula memahamkan diri. Hatinya bukan untuk aku lagi. Kerana apa dan mengapa. Aku tak tahu.
Kalau kau mengharapkan Raihah membicarakan sebab dan musabab dia meninggalkan dirimu saat membilang hari diijabkabulkan. Kau harus bersedia untuk menunggu. Ataupun berlapang dada mendengar apa sahaja komentar tentang dirimu. Percayalah, kau akan merasa segala kurang dan salah datangnya dari dirimu. Macam aku dulu. Aku yang silap, aku yang salah. Dia benar. Betul sempurna.
Dia pandang wajah Dzulfazli lagi. Entah bagaimana untuk meluntaskan kata-kata semangat. Sedang masa-masa ini, kata-kata bukanlah penenang jiwa. Dia perlukan ruang dan masa untuk melapang fikiran. Menerima ketentuan..
“ Aku tak boleh terima. Aku tak boleh maafkan dia.” Kata Hidayah buat Diyana terpanggung. Bagaikan silap di pendengaran si bongsu yang masih mengenal hidup, mencerna erti takdir ini kukuh dengan pegangannya.
Benar. Pengkhianatan itu kesalahan maha besar. Kecurangan bukan perkara untuk dibahaskan. Organ penting bernama hati takkan mudah nak menerima dengan lapang dada. Itu fikirnya. Logik hati dan akal sudah mampu menyimpul setiap satu perbuatan. Hidup ini umpama roda, what you give, you get back!
“ Aku bingung. Bingung sangat.”
Mana mungkin dia boleh sentiasa pura-pura tabah. Sedang sebulan dari sekarang, majlis yang direncana akan berlangsung. Rumah sudah dicat sempurna, langsir biru lembut siap dijahit, bunga telur sudah disusun, perabot dan kelengkapan sudah tersedia. Itu belum lagi cenderamata, baju kendarat, barang hantara. Segalanya lengkap sudah. Hanya menunggu harinya sahaja.
“ Dahlah Li. Jangan difikir-fikir sangat. Tenangkan fikiran. Macam nilah, nanti aku yang cakap dengan abah dan emak.” Diyana menawar diri. Sedang kepala sudah mengarang bahasa. Sebaik mungkin mengkhabar dengan wajah tenang bersahaja. Emak pun baru keluar dari hospital kelmarin. Tekanan darahnya masih rendah.
“ Haah abang Li. Kau jangan nak ingat-ingat dia. Fikir sangat buat apa. Dia dah nak dengan jantan lain. Tak guna nak ingat orang macam tu.” Kasar suara Hidayah buat Diyana membulat mata.
Ya Allah Hidayah. Abang kamu ni perlukan kata-kata semangat. Bukan sindiran atau sarkastik. Banyak yang belum engkau tahu. Berkongsi susah dan sedihnya orang bukan semata bersifat simpati, tapi empati! Memaham jauh ke akar masalah. Ke pokok persoalan. Ke isi hatinya. Dengan itu, kita akan menjaga setiap kata. Bukan hanya hembus sesuka.
Benar. Kita ingin menyedarkan dirinyaa. Tapi masanya akan tiba. Bukan tiba-tiba!
Diyana tergeleng kecil. Amaran dengan mata buat Hidayah. Sekali-kali diulang jangan bicara itu.
“ Anggaplah apa yang datang pada kita ini hanya dugaan Allah .masakan kita mengaku beriman dengannya tanpa diuji?”
Kata untuk menyedap hati. Hatinya sendiri juga. Kalau dia memerlu dua tahun untuk menerima, empat tahun untuk buat-buat melupakan. Mengapa dia mengharap 24 jam ini Dzulfazli dapat melepaskan segalanya? Mengapa dia tidak memberi Dzulfazli empat tahun untuk menerima?
Ah! Dia tidak ingin Dzulfazli jadi sepertinya. Menolak takdir tuhan. Konon-konon memujuk diri, Asyraf masih menyayanginya. Asyraf bukan begitu. Asyraf tidak begini. Itu bukan Asyraf. Itu bukan dia. Itu orang lain. Nah, empat tahun sudah dia sendiri. Meminggir cinta buat insan bernama Adam. Sedang disana menyulam rindu-rinduan buat Hawa yang lain. Bodohnya dia!
“ Tapi majlis ini..”
“ Maha Suci Allah. Semalam hajat hati mak dan abah ingin menjemput saudara mara tidak kesampaian dek hujan ribut. Kad undangan masih ada. Tiada siapa yang menerima. Lagipun, setakat ini jemputan dari mulut ke mulut. Nampak tak? Allah sayang pada kita. Mendung diganti dengan pelangi nan indah. Percayalah, jodoh telah ditentukan disana. Mungkin bukan Idayu. Mungkin seseorang yang lain.”
2
“ Emak pengsan!” jeritan Hidayah menggema ruang rumah dua tingkat ini.
Dia yang sedang mencuci pinggan mangkuk usai makan malam tadi, pantas berlari. Mendapat emak di ruang tamu yang telah melonglai di atas sofa. Abah meniup-niup ubun emak.
“ Kenapa Abah?”
Dzulfazli yang entah dari mana datang menerpa. Kaget sekali. Walhal bukan kali pertama emak berkeadaan begini. Bukankah emak terlalu lemah untuk mendengar sebarang perkara. Perkara? Dia seolah bisa mengagak.
“ Abah dah bagitahu emak.” Kata abah buat mereka lemah lutut. Yang ditakuti jadi jua akhirnya.
Hidayah menghulur air masak mati buat emak. Abah memercik air ke muka emak. Buat emak tersedar. Entah tidak semena apa emak menangis teresak-esak. Hiba sungguh mereka melihatnya.
“ Dzulfazli..” panggil emak. Dzulfazli yang tertunduk menghampiri sisi emak. Berlutut di atas lantai.
“ Maafkan Dzul mak..”
Kini, masing-masing tidak dapat menahan sedih. Abah turut jua mengalir airmata. Bahkan dia dan Hidayah jua. Sama-sama merasa musibah ini.
“ Kenapa tak bagitahu emak?” emak mengelus rambut Dzulfazli. Penuh kasih dan kasihan. Pantas dikucup dahi Dzulfazli yang masih terhinggut-hinggut menangis.
“ Maafkan Dzul..” tangan tua emak dikecup berulang-ulang.
“ Tak apa Dzul. Allah tentukan yang terbaik buat hambanya. Tiada apa yang emak hendak kesalkan. Cuma emak sedih. Bila tahu anak emak terluka begini. Biarlah majlis itu. Tak salah kan bersedekah?”
Majlis tetap berlangsung. Tetap jadi. Kata emak, setuju abah. Kami turutkan, kenduri doa selamat akan diadakan buat Dzulfazli yang kuat semangat menerima ketentuan Tuhan. Juga buat emak yang sudah semakin sembuh. Biar jadi pedoman. Cinta dunia, cinta sementara. Cinta Dia, cinta abadi selamanya.
3 comments:
nice.. boleh jd novelis nih. hehe
kejujuran adalah ibu segala kebahagian...nice !
yang ditinggalkan akan rasa sepi, sedih, sunyi, semualah kekusutan ada padanya. Cuma semangat yang akan menjadi benteng motivasi diri.
yang meninggalkan juga akan dan sudah pernah mengalami keadaan bagimna ditinggalkan..
Dunia ini bulat.
Post a Comment